DRAMATIS KUALA LUMPUR

DRAMATIS KUALA LUMPUR
Perjuangan Belum Selesai

Tuesday, December 14, 2010

TEATER MUZIKAL TUN MAHATHIR (2)

Teater Muzikal Tun Mahathir terbitan CTRA Production dengan kerjasama Istana Budaya yang di arahkan oleh Rosminah Tahir ini telah mendapat sambutan hangat pada pementasan musim pertama, kini Teater Muzikal Tun Mahathir akan di pentaskan buat kali kedua di Panggung Sari, Istana Budaya pada 21 hingga 30 Januari 2011 akan datang.

Pementasan musim kedua ini juga di dorong atas permintaan ramai dan keinginan mantan Perdana Menteri ,Tun Mahathir sendiri yang ingin menontonnya kerana tidak berkesempatan menonton pementasan musim pertama,begitulah kata penerbit Teater Muzikal Tun Mahathir 2, Siti Rohayah Attan.

Walaupun tanpa dua pelakon utama dari pementasan pertama, Erra Fazira yang melakonkan watak Tun Siti Hasmah dan Zizan Nin yang membawa watak Tun Mahathir ketika zaman remaja namun persembahan ini tetap akan di teruskan.

Teater Muzikal Tun Mahathir musim kedua ini juga menunjukkan beberapa perubahan dari segi para pelakonnya. Antaranya ialah Azean Irdawaty, Dato' AC Mizal , Rosli Rahman Adam dan lain lain. Esma Daniel masih memegang watak utama iaitu Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4. Negarawan terulung kita.

Marilah bersama-sama menyokong industri teater kita sendiri. Untuk keterangan lanjut berhubung pembelian tiket, sila layari www.ticket2u.biz/Events/MuzikalTunMahathirMusim2.aspx

(Antara barisan pelakon yang akan menjayakan pementasan MTM2)

Wednesday, September 8, 2010

SALAM LEBARAN AIDILFITRI 1431H

Assalamualaikum pembuka bicara. Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri , Maaf Zahir Batin kepada semua pelajar , bekas pelajar , rakan-rakan teater seperjuangan dan juga para peminat teater . Semoga ikatan antara kita akan kekal abadi harapnya. Majulah teater untuk negara ! :)


Thursday, August 26, 2010

BANGSAWAN "PUTERI MAHARANI"

Pada 6 , 7 dan 8 Ogos yang lalu kami telah pergi menonton sebuah pementasan bangsawan oleh Persatuan Penggerak Seni Budaya Kuala Lumpur yang bertajuk Puteri Maharani di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.

Persembahan yang berlangsung lebih kurang 2 jam itu memaparkan sebuah kisah seorang putera raja Putera Kamar Al-Zaman yang belum berkahwin dan di titah oleh ayahandanya Sultan Badrul Zaman supaya mencari permaisuri buatnya untuk mewarisi takhta kerajaannya kelak.

Tengku Kamar Al-Zaman bersama-sama Khadam lakonan cikgu Rosli Rahman Adam pun pergi mencari perempuan yang sesuai dengan Tengku. Tidak semena-mena mereka tersesat di dalam hutan dan bertemu dengan Puteri Gambus. Namun Tengku teah di pukau oleh Putera Jin ,tetapi Khadam tidak di pukaunya.

Sekembalinya mereka ke istana, Sultan Badrul Zaman murka terhadap Khadam kerana anakandanya menjadi tidak siuman kerana teringatkan Puteri Gambus. Tengku dan Khadam mengambil keputusan untuk mencari kembali Puteri Gambus jika tidak Khadam akan di pancung.

Akhirnya mereka menemui Puteri di kayangan setelah di sorok oleh Putera Jin dan Rasaksa Gagap dengan pertolongan Datuk Pertapa yang menjampi gambus supaya mereka dapat terbang ke kayangan. Tengku Kamar dan Puteri Gambus berkahwin dan Puteri Gambus diisytiharkan sebagai Puteri Maharani oleh Sultan Badrul Zaman.

Cerita ini ringan dan mungkin agak klise. Namun begitu ia masih seronok untuk dibuat sebagai bahan tontonan. Ini kerana terutamanya watak-watak yang membawa humor di dalam persembahan tersebut berjaya menggamatkan auditorium.

Dari segi teknikal semuanya baik. Para pemuzik yang di pimpin oleh Ahmad Firlany juga memberikan suatu persembahan mantap. Tahniah di ucapkan. Tidak lupa juga dari segi kostum,props dan setting. Ia kelihatan begitu menarik dan unik.

Ratu Gambus Negara Fauziah Gambus nyata berjaya menarik perhatian penonton dengan petikan gambusnya dan suaranya yang merdu. Dior yang memegang watak Tengku Kamar persembahannya pada malam itu agak baik. Tahniah diucapkan kepada mereka berdua. Khadam lakonan Rosli Rahman Adam berada pada tahap yang terbaik. Beliau berjaya menghidupkan elemen komedi di dalam bangsawan ini.

Banyak yang kami dapat pelajari sari bangsawan ini. Semoga ia akan berkekalan dalam ingatan kami. Untuk lebih mengetahui tentang bangsawan ini sila lawati http://penggeraksenibudayakualalumpur.blogspot.com/ .

Thursday, June 24, 2010

MONOLOG "LUBANG NERAKA"


"Perbicaraan Dunia sudah berakhir...Perbicaraan di Dunia Lain entah bila akan berakhir..."

Pada 19 Jun yang lalu. Kami telah pergi menonton sebuah lagi teater monolog selepas Monolog "Denyut" oleh Kolej Yayasan Melaka,iaitu monolog "Lubang Neraka" oleh Pertubuhan Yayasan Pelajaran Johor. Ini bersempena program Manifestasi Teater Malaysia 2010.

Kami menghadirkan diri bersama para pelajar untuk memberi sokongan terhadap program Manifestasi Teater Malaysia ini dan juga untuk memberi suntikan semangat kepada para aktivis lain serta kumpulan yang akan membuat persembahan. Persembahan pada malam itu bertempat di Taman Budaya Kuala Lumpur. Kehadiran penonton pada malam itu agak baik.

Monolog ini bercorak Surealisme kerana ianya adalah sesuatu yang tidak nyata kewujudannya kerana monolog ini tidak menjelaskan di mana-mana situasi,masa dan tempat. Memang secara kasarnya kami hanya melihat sebuah kerusi dan kain yang di rentang dari bahagian atas sehingga ke pentas serta kain yang mewarnai keseluruhan pentas. Walaupun begitu,kami masih tidak tahu di mana ia sebenarnya berada,dan kerana itu kami mengklasifikasikan ianya sebagai sebuah monolog yang bergenre Surealisme.

(Set "Lubang Neraka")

Set yang di gunakan agak ringkas dan kemas. Walau bagaimanapun sang pelakon pandai bermain dengan set yang di dirikan. Drama yang mengisahkan tentang permasalahan sosial dalam kalangan orang berada yang mengejar keseronokan duniawi hingga memerangkap orang lain untuk turut melakukan kesalahan. Jef orang kaya yang menyukai Eva telah menabur wang ringgit demi untuk menaruh hati Eva. Eva terperangkap dengan kata-kata Jef. Eva melahirkan anak luar nikah. Jef tidak mahu bertanggungjawab atas perbuatannya. Jef mengupah pembunuh upahan untuk membunuh Eva. Akhirnya Jef terjerat dengan perbuatannya itu. Lubang Neraka merupakan sebuah cerita yang sarat dengan mesej.

Watak Jef seorang lelaki dan Eva seorang wanita yang di lakonkan oleh Fairuz Ahmad menjadi dan kami mengkagumi kemampuannya bertukar watak dari Jef ke Eva dan dari Eva ke Jef. Olah tubuh Fairuz amat baik dan berjaya memukau penonton untuk menonton lakonannya selama 45 minit apabila beliau bertukar watak menjadi Eva. Bukan sahaja olah tubuh malah suaranya juga bertukar menjadi suara seorang wanita. Bahagian permulaan bila Fairuz menjadi Eva vokalnya agak rendah tetapi ia tidak lagi terjadi selepas itu. Lontaran vokalnya sangat kemas dan jelas. Dia juga pandai bermain dengan set. Daya imaginasi Fairuz sangat kuat.

Dari segi teknikal pula bagi kami teknik pencahayaan kadang-kala kurang kemas dan adakalanya baik. Walaubagaimanapun, dari segi audio tiada masalah. Audio hanya di mainkan di babak tertentu yang selari dengannya.

(Semasa permulaan cerita)

(Eva memberi kad kepada Jef)

(Jef mengeluh tentang Eva yang menganggu hidupnya)

Secara ringkasnya,persembahan monolog ini memang bergantung kepada kekuatan seseorang pelakon itu. Jika dia tidak mampu memberika yang terbaik maka punahlah persembahan itu. Tetapi monolog "Lubang Neraka" ini secara jujurnya memang kuat kerana pelakonnya. Tahniah kepada Pertubuhan Yayasan Pelajaran Johor.

(Para pelajar bergambar kenangan bersama Fairuz)

(Cikgu Rosli bersama Fairuz)

Melalui monolog "Lubang Neraka" ini kami telah dapat mempelajari sesuatu yang baru. Ia tetap akan segar di ingatan kami.

"...PERJUANGAN BELUM SELESAI..."

Majlis Tahlil & Doa Selamat

Alhamdulillah. Kini pada setiap malam Jumaat di studio kami akan diadakan Majlis Tahlil dan Doa Selamat. Bermula pada 17 Jun yang lalu. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pelajar yang dapat menghadirkan diri pada Majlis Tahlil dan Doa Selamat ini. Terima Kasih juga kepada para pelajar yang membawa buah tangan pada majlis tersebut.

Majlis ini akan di mulakan selepas solat Maghrib. Sebelum itu,kami berjemaah bersama-sama solat Maghrib dan selepas Tahlil dan Doa Selamat kami teruskan berjemaah solat Isya'.

Antara gambar pada Majlis yang lalu ;

(Ustaz Syafiq mengimamkan solat)

(Para pelajar mendengar tekun apa yang diperkatakan Cikgu Rosli)

(Bacaan Yassin)

(Bacaan Yassin beramai-ramai)

(Makan-makan setelah selesai Solat Isya')

Kesimpulannya,kami berharap pelajar-pelajar yang belum menghadiri majlis ini,sila lah datang ya. Kami juga berharap majlis ini dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara satu sama lain.

Wednesday, June 16, 2010

KEM ORIENTASI 2010



Pada 11,12 dan 13 Jun yang lalu kami Dramatis Kuala Lumpur telah membuat sebuah program khas buat pelajar-pelajar kami iaitu Kem Orientasi di Melaka. Program ini juga memberi banyak manfaat buat mereka yang ingin mengenali erti dunia seni.

Selama 3 hari 2 malam di sana,kami menetap di Homestay Parit Penghulu,Sg,Rambai,Melaka. Ia merupakan sebuah tempat yang sangat selesa buat pelajar kami. Banyak kemudahan di sediakan termasuklah Wi-Fi,kantin makan dan lain-lain.

Banyak aktiviti-aktiviti yang dilakukan. Salah satu ialah praktikal penggambaran drama pendek. Ia sedikit sebanyak memberikan mereka asas-asas berlakon di hadapan lensa kamera. Walaupun tidak menggunakan peralatan penggambaran yang sebenar,ia sudah memadai buat mereka untuk mengenali asas lakonan drama tv. Tidak lupa juga buat mereka yang tidak berlakon,tetapi sebaliknya bertungkus-lumus membuat tugas di belakang tabir.

Ternyata praktikal ini agak sukar buat mereka yang baru kali pertama menyesuaikan diri dengan teknik lakonan drama tv yang jauh berbeza dengan teater. Mungkin terdapat beberapa kelemahan dari segi teknik lakonan drama tv,tetapi apa yang membanggakan kami ialah,sifat ingin mencuba dan ingin tahu yang di tonjolkan oleh para pelajar.

Drama yang kami buat ini bertajuk "BARAN". Cerita yang mengisahkan tentang 3 orang adik beradik yatim piatu yang hidup dalam serba kekurangan setelah kematian ibu dan bapanya. Sabariah yang sering bersikap kurang ajar terhadap Malim telah menerima akibat buruk iaitu di rogol ketika pulang dari mengaji. Kejadian itu membuatkan abangnya Bazit meradang dan membelasah Malim sehingga Malim cedera. Akhirnya,Pak Musa dan Mak Mah ayah dan mak kepada Malim meminta maaf atas tindakan Malim dan mahu mengambil Sabariah sebagai menantu mereka. Setelah kejadian itu berlalu,timbul pula satu lagi konflik di antara Suraya kakak Bazit dan Muin lelaki miang yang sudah berbini dua. Seperti biasa,Bazit yang sememangnya seorang yang panas baran membelasah Muin dan Muin terus menjauhkan diri dari keluarga Bazit.

Antara gambar-gambar semasa penggambaran "BARAN" ;

(hari pertama,semua berdebar)

(orang kuat di belakang tabir)

(Cikgu Rosli menunjuk ajar kepada Syafiq)

(Babak Malim di marahi oleh Pak Musa)

(Cikgu Rosli memberi penerangan tentang "curi makan")

(Bazit memarahi Sabariah yang hampir bunuh diri)

(Cikgu Rosli mengajar teknik lakon yang betul)

(Babak antara Bazit dan Suraya)

(Rina sebagai Sabariah dan Juwita sebagai Jamilah)

(Babak di mana Rina di kehendaki terjun ke dalam sungai)

Tahniah di ucapkan kepada Rina kerana berani melakukan aksi ini sendiri.

(Babak pergaduhan antara Muin dan Bazit)

(Babak pergaduhan antara Bazit dan Malim)

Gambar-gambar segmen teater "Jamilah" yang kami tukar konsep dari teater ke drama tv :

(Engku Bakar dan 'bodyguard'nye)

(Mawi,Mat dan Abu. Cikgu Rosli memberi arahan kepada Syafiq)

Baiklah,kita tutup buku tentang penggambaran drama tv tadi. Sekarang kita beralih ke satu lagi aktiviti yang kami buat khas untuk pelajar-pelajar kami. Aktiviti ini di lakukan untuk memperkasakan daya ketahanan fizikal dan mental masing-masing. Program ini dinamakan "Night Walk". Walau bagaimanapun,kami berbangga dengan keberanian para pelajar dalam menempuh halangan dan cabaran yang diberi. Ini antara gambar yang sempat kami snap sebelum bermula program.

(Cikgu Rosli memberi taklimat)

(Aliff,Zayrul,Que dan Syafiq 'kesilauan')

(Syafiq mengetuai bacaan doa sebelum aktiviti bermula)

(Selepas selesai Night Walk makan-makan di tepi laut)

(Bergambar kenangan di hadapan rumah kelahiran Cikgu Rosli)

Akhir kata, tahniah buat para pelajar yang berjaya mengikuti kem ini dengan baik. Kami berharap ia memberi kan kesan yang mendalam kepada kamu semua. Disiplin,pengurusan masa,berdikari dalam pelbagai aspek,kerjasama dan daya kreativiti telah di perah melalui program ini. Maka tahulah kami di antara kamu yang mana baik yang mana kurang baik. Teruskan usaha kalian! Tahniah sekali lagi.

Berikut adalah senarai pelajar dan watak/tugasan yang diberi :

1) Puteri Izan : Mak Mah/Handy

2) Zayrul Iqwan Rosli : Bazit/Krew

3) Muhd.Aliff : Pemuda 1/Continuity

4) Juwita : Jamilah/Krew

5) Que : Sabri/Assistant Director

6) Syafiq Zulakifli : Pak Musa/Cameraman

7) Fazil : Pemuda 2/Assistant Continuity

8) Abby Jasnina : Props

9) Hisham Rusli : Muin/Krew

10) Emma : Suraya/Make-up Artist

11) Rina : Sabariah/Assistant Make-up Artist

12) Salleh : Malim/Runner

13) Yus Mat Diah : Local PM

Monday, May 24, 2010

MANIFESTASI TEATER "GEJOLAK"

22 Mei 2010 bersamaan hari Sabtu yang lalu,kami Dramatis Kuala Lumpur telah pergi menonton sebuah pementasan Manifestasi Teater Malaysia 2010 kategori NGO/IPT oleh kumpulan Aura Production KYMi (Kolej Yayasan Melaka) bagi memeriahkan lagi program ini.

Juara Festival Teater Melaka 2009 ini ternyata layak memperoleh gelaran tersebut. Gejolak yang berkisarkan tentang persoalan di mana terletaknya keadilan yang sebenar dan juga pilihan yang bukannya pilihan mereka.

"...pilihan yang tiada pilihan..."
Ini merupakan dialog yang penuh dengan persoalan.

Mereka berjaya membuat Gejolak menjadi sebuah teater yang mempunyai unsur eksperimen seperti penggunaan bingkai yang boleh juga dikatakan sebuah persoalan buat penonton untuk berfikir out of the box apakah sebenarnya bingkai itu. Ia hanyalah sebuah metafora. Idea yang menarik. Selain itu,permulaan babak dengan tarian sangatlah mengujakan.

Set yang digambarkan sebagai sebuah penjara amat baik dan cantik. Penggunaan kelir di bahagian kiri dan kanan pentas merupakan idea yang bagus. Setiap watak akan menunjukkan bayang perwatakan di sebalik kelir itu sebelum muncul di tengah pentas.

Dari segi teknikal pula agak baik dan kemas. Penggunaan teknik pencahayaan mungkin biasa sahaja di bahagian tengah penceritaan dengan menggunakan general lighting dan juga spot apabila si pelakon berada di atas platform kiri dan kanan menceritakan tentang biografi penangkapan mereka. Menarik adalah perkataan yang seharusnya di perkatakan. Kami juga teruja dengan teknik cahaya yang muncul dari dalam kotak platform tengah di akhir cerita. Audio juga baik. Ini kerana background music hanya muncul dibahagian awal dan akhir penceritaan. Bunyi petikan gitar yang diguna sangat baik.

Para pelakon dalam Gejolak pula telah melakukan yang terbaik. Walau bagaimanapun Jay yang dilakonkan oleh Azrul Razilah agak menonjol pada malam itu. Credit harus diberikan kepada beliau. Tetapi kadang-kadang ada dialog yang clash antara dia dan rakan lakonnya yang lain,ini harus diperbaiki. Bukan yang lain tidak bagus,pelakon yang lain juga telah menonjolkan perwatakan masing-masing dengan jelas dan baik. Penyampaian teknikal juga baik.

Sesungguhnya bagi kami Jay,Mas,Les Zar dan Kar El adalah "Jebat" di dalam penjara itu. Mereka merasakan apa yang mereka lakukan betul tetapi salah disisi undang-undang. Paling mengejutkan ialah,Kar El yang bersalah kerana mencuri telur buat isterinya yang mengidam juga di hukum bunuh. Dimanakah keadilan? Keadaan menjadi semakin rumit bila warden memberi tempoh 15 minit buat mereka berfikir bagaimankah cara mereka hendak mati. Perbalahan tentang cara mereka hendak mati antara mereka menjadi sebuah konflik yang membuatkan penonton tertanya-tanya bagaimanakah mereka akan mati. Pelbagai cara dan idea yang mereka beri yang akhirnya dimana Kar El memilih secara tidak sengaja ,iaitu cara di Gantung hingga mati yang pada awalnya dia tidak setuju. Keadilan yang tidak adil. Walau pun begitu, sebenarnya nyawa setiap manusia hanyalah Allah yang menentukan. Jika tiba ajal,matilah kita.

"...KUN FA YA KUN..."

Akhir kata,persembahan pada malam itu antara yang terbaik yang pernah kami tonton selama ini. Bagi kami, memang benar,kadang-kadang pilihan memang tiada pilihan. Tahniah diucapkan buat Aura Production!

"...sebuah naskah teater eksperimental yang berjaya! Teruskan lagi berkarya KYM!..."


(sebahagian pelajar-pelajar Dramatis yang hadir)

...PERJUANGAN BELUM SELESAI...

Sunday, May 9, 2010

BANGSAWAN "NILAM DEWANI"


Bersempena Program Semarak Bangsawan 2010 ini kami Dramatis Camar Pesona telah berkesempatan untuk menyemarakkan program ini dengan menghadirkan diri ke sebuah pementasan bangsawan oleh Kumpulan Bangsawan Seri Mahkota Alam,Johor Bahru yang bertajuk "Nilam Dewani". Persembahan yang bertempat di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari peminat bangsawan tanah air walaupun bertiket RM5.

Pada malam itu kami dapat melihat dan menemui bukan sahaja orang awam yang hadir malah penyanyi terkenal Ramli Sarip juga hadir pada malam itu. Selain daripada itu,ramai juga akitvis teater dan dunia seni ini yang hadir.

(Bergambar bersama Ramli Sarip)

Bangsawan Nilam Dewani yang di arahkan oleh S.M Aliff yang juga sahabat Cikgu Rosli Rahman Adam pada malam itu agak baik. Cerita yang berkisarkan seorang raja yang bernama Raja Demaga yang terpaksa menyamarkan Puteri Seri Nilam Dewani menjadi nyiur gading @ buah nyiur dan dihantar bersembunyi di Bumi dari dunia kayangannya kerana untuk menggelakkan anaknya itu berkahwin dengan raja yang angkuh dan bernafsu iaitu Raja Gemala Dewa.

Ceritanya ringkas dan mudah difahami. Walaupun penonton mungkin boleh mengagak pengakhirannya namun ia tetap sebuah naskah yang menarik untuk di tonton.

Dari segi lakonan para pelakon yang menjayakan bangsawan pada malam itu berada di tahap baik sahaja. Walaupun ada terdapat sedikit kelonggaran penghayatan. Watak yang paling menonjol pada malam itu ialah watak Raja Jin yang dilakonkan oleh Hussin Ismail. Pujian wajar diberi kepada beliau kerana Hussin berjaya menaikkan graf penceritaan. Tahniah diucapkan!

Kostum yang digunakan dalam pementasan pada malam itu amat baik. Kami dapat melihat perbezaan pakaian antara Dunia Kayangan dan Dunia Sebenar (Bumi). Tidak ketinggalan juga Set & Prop yang di guna pakai,ia sangat menarik. Setiap set yang ditukar semasa extra-turn berjaya menonjolkan dimana situasi itu berlaku.

Apa yang membuatkan kami teruja apabila special effect iaitu Puteri Nilam Dewani bertukar kepada Pokok Nyiur Gading dengan smoke machine. Lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Puteri Seri Nilam Dewani yang dilakonkan oleh Natasha Mohd Yazir pada malam itu sedap didengar dan liriknya sesuai dengan situasi babak tersebut. Selain itu,para pemuzik live yang mengiringi persembahan pada malam itu juga amat baik. Tahniah juga kepada mereka. Dari segi teknik pencahayaan juga amat baik dan menarik. Ianya mungkin ringkas tetapi kemas.

Kami juga amat terhibur dengan extra-turn yang dijamukan kepada penonton agar tidak jemu atau keluar dari panggung. Dendangan lagu dan tarian amat menarik. Terutamanya lagu pop yeh yeh La Obe. hehe!

(Semasa 'curtain-call')

Akhir kata dari kami ialah,tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dan menjayakan Bangsawan Nilam Dewani ini! Pengalaman ini tetap segar di ingatan kami.

~PERJUANGAN BELUM SELESAI~

Tuesday, May 4, 2010

MONOLOG "DENYUT"

"Gila! Bangsat! Kotor! Jijik! Hina! .... Aku sayang lelaki tua itu... Kerana MATA itu, aku bunuhnya!"

Pada 2 Mei 2010 kami Dramatis Camar Pesona sekali lagi pergi menonton sebuah pementasan teater,tetapi kali ini ia bukanlah sebuah pementasan teater kategori NGO/IPT tetapi ia sebuah pementasan Monolog. Pementasan monolog "Denyut" oleh kumpulan Aura Production KYMI dari Melaka pada malam itu adalah persembahan monolog buat kali pertama di tonton oleh Pelajar-pelajar sesi 2010.

Persembahan monolog itu yang diadakan di Taman Budaya KL itu bersempena Manifestasi Teater Malaysia 2010 merupakan antara persembahan yang menarik bagi kami. Walaupun sambutan penonton kurang menggalakkan tetapi kami tetap memberi sokongan kepada para penggiat teater Malaysia.

Pada awalnya kami agak tertanya-tanya apa maksud di sebalik tajuk "Denyut" dan ayat di bawah tajuk itu iaitu"aku benci matanya..."(di pamplet). Kami hanya mengandaikan ia sebuah metafora ataupun simbolisme kepada sesuatu benda mahupun seseorang.

Selain itu,kami juga tertarik dengan idea kreatif yang mereka tonjolkan seperti bunyi petikan gitar live di tepi sudut pentas. Persembahan malam itu agak sempoi tetapi mempunyai mesej yang mendalam. Monolog yang disampaikan oleh Mohd.Zamri pada malam itu mempunyai caranya yang tersendiri. Zamri juga pandai membezakan perwatakan antara Qabil,Tuan Habil dan Polis.

Perwatakan Qabil yang dibawa oleh Zamri agak jelas. Qabil bagi kami adalah seorang yang SKIZOFRENIA, iaitu penyakit mental yang teruk dengan ciri-ciri kecacatan yang berterusan pada penerimaan seseorang (perception) pada gambaran alam sebenar (reality). Apa yang kami nampak ialah Qabil yang dilakonkan oleh Zamri juga menunjukkan dia memang seorang yang sakit mental ialah apabila dia berasa tertekan ataupun sakit serta takut setelah terdengar bunyi denyutan ketika hendak membunuh Tuan Habil. Ia juga merupakan ciri skizofrenia iaitu halusinasi pendengaran. Zamri juga berjaya menonjolkan bahawa Habil seorang yang berfikiran tidak teratur.

Walaupun kadang-kadang ada sedikit keloggaran lakonan namun ia bukanlah ketara kerana selain lakonan penghayatannya yang kuat, Zamri juga di bantu dengan teknik lampu yang amat baik dan kemas. Kami juga teruja dengan penggunaan stroke light dan di iringi bunyi guruh menambahkan lagi mood babak tertentu itu.

(MATA yang banyak menimbulkan persoalan)

(Antara babak menarik Denyut)
Secara ringkasnya, persembahan pada malam itu menarik dan kami juga dapat mempelajari sedikit sebanyak ilmu dari persembahan pada malam itu. Syabas di ucapkan kepada Aura Production KYMI.

(Pelajar-pelajar Dramatis bergambar bersama Zamri)

(Cikgu Rosli Rahman Adam bersama Zamri)

Persembahan monolog "Denyut" ini akan tetap segar dalam ingatan Dramatis. Ini juga merupakan salah satu cara pembelajaran kami iaitu teknik "belajar pandang".

...PERJUANGAN BELUM SELESAI...

Saturday, May 1, 2010

SKETSA "SESAT DALAM CAHAYA"



Pada 30 April 2010 bertempat di Hotel De Palma,sempena Karnival Bulan Keinsafan anjuran Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Ampang kami Dramatis Camar Pesona telah di pertanggungjawabkan untuk mempersembahkan sebuah sketsa berkaitan dengan penyalahgunaan dadah yang bertajuk "Sesat Dalam Cahaya" karya Tuan Haji Rahman Adam.

Kami berasa amat berbangga dan bertuah kerana Pengerusi Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Ampang merangkap Pengerusi Bulan Keinsafan iaitu Datuk Ramle bin Mat Daly memberi kepercayaan dan sokongan yang padu kepada kami untuk menjayakan pementasan pada malam itu. Terima Kasih kami ucapkan Datuk Ramle.

Selain daripada persembahan sketsa dari kami,pelbagai persembahan lain seperti Dikir Barat,Nasyid dan Pendeklamasian Sajak juga turut mewarnai perasmian Karnival Bulan Keinsafan yang dirasmikan oleh Dato' Hajjah Zuraidah binti Haji Mohamed itu. Persembahan Deklamasi Sajak itu turut di iringi oleh Zayrul Iqwan Rosli yang bertindak sebagai "silent monolog actor".

Selain itu,terima kasih kepada Cikgu Rosli Rahman Adam yang banyak memberi tunjuk ajar kepada para pelajar terutamanya dari segi lakonan serta permainan pentas. Tidak lupa juga buat Tuan Haji Rahman Adam merangkap Timbalan Pengerusi Bulan Keinsafan yang juga memberi tunjuk ajar dari segi lakonan dan kerja balik tabir.

(Datuk Ramle b. Mat Daly dan Tuan Haji Rahman Adam)

Terima Kasih juga diucapkan buat pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam pementasan ini. Ini juga merupakan persembahan pertama buat Pelajar Sesi 2010. Meskipun ini adalah persembahan pertama mereka,persembahan pada malam itu agak baik walaupun pelajar-pelajar baru agak gemuruh. Termasuklah pengurusan belakang tabir yang cemerlang. Tahniah diucapkan.

PENDEKLAMASIAN SAJAK

(Zayrul semasa sesi latihan sebelum pementasan)

BARISAN PELAKON "SESAT DALAM CAHAYA"


PUTERI IZAN sebagai ROKIAH
Persembahan lakonannya pada malam itu agak baik,walaupun lontaran suaranya menjadi nyaring sedikit. Pun begitu dia dapat menjayakan watak sebagai ibu yang merintih akan nasib anaknya yang terlibat dengan dadah. Kesimpulannya dia berjaya menonjolkan wataknya.

ZAMRI KHALIP sebagai ISHAK
Lakonannya pada malam itu berada di tahap sederhana kerana perwatakan tua dari usianya yang sebenar kurang meyakinkan pengarah iaitu Cikgu Rosli Rahman Adam. Mungkin kerana dia gagal mengawal rasa gemuruh kerana pertama kali naik ke pentas. Walaubagaimanapun ia bukanlah bermakna Zamri gagal,tetapi harus memperbaiki lagi mutu lakonannya. Tahniah!

ILANI KHALID sebagai NORA
Lakonannya pada malam itu sederhana juga. Ini kerana dia ada membuat beberapa kesilapan kecil semasa persembahan. Di harap supaya Ilani membuang tabiat "stage-shy". Ini tidak bererti dia gagal,ia merupakan cubaan pertama yang baik. Watak sebagai pelajar sekolah menengah jelas ditonjolkan melalui kostum dan suaranya. Kesimpulannya,Ilani perlu memperbaiki lagi mutu lakonan ke tahap yang lebih baik.

ZAYRUL IQWAN ROSLI sebagai RUSDI
Zayrul berjaya menonjolkan perwatakan kurang ajarnya sebagai seorang anak yang terlibat dengan dadah. Pada malam itu mutu lakonannya berada di tahap yang sangat baik. Lontaran dialog juga jelas di perdengarkan. Dia tidak nampak langsung gementar tatkala berada di pentas. Tahniah!

IERA NADIRAH sebagai SHIKIN
Lakonannya juga berada di tahap sederhana. Pembawakan wataknya sebagai individu yang turut mersakan kesan negatif dadah iaitu abangnya yang telah membunuh ayahnya kurang meyakinkan. Esakan tangisan telah menganggu lontaran vokalnya. Pun begitu,ia merupakan cubaan yang baik buat Iera. Di harap Iera dapat meningkatkan mutu lakonan.

SHAFAZIL SHAHUDIN sebagai PEGAWAI AADK 1
Lakonannya berada di tahap sederhana baik. Meskipun hanya terlibat satu babak sahaja. "Chemistry" sebagai seorang pegawai penguatkuasa AADK boleh dikatakan berjaya ditonjolkan,tambahan pula dengan jaket AADK yang rasmi di gunakan. Bagaimanapun,Fazil harus mempertingkatkan lagi mutu lakonannya.

AHMAD TARMIZI sebagai PEGAWAI AADK 2
Lakonannya dan Fazil berada di tahap yang serupa. Mizi perlu meningkatkan tahap dan mutu lakonannya di tahap yang lebih baik.

BELAKANG TABIR

MOHD HILMI : Penolong Pengarah
Hilmi telah melakukan tugasnya dengan sempurna dan baik pada malam itu. Dia amat mengambil berat tentang para pelakon yang juga rakan-rakan seperjuangannya. "Q" keluar masuk pentas juga berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan kemas. Ia merupakan salah satu faktor yang membuatkan sketsa ini berjalan lancar tanpa gangguan belakang pentas.

DIANA ZAINAL : Pengurus Produksi
Pujian juga harus di berikan kepada Diana yang telah berjaya melaksanakan tugasnya sebagai Pengurus Produksi. Tugasnya amat berat dari pagi kami berada hinggalah ke malam. Dia berjaya mengatur kemas pergerakan Dramatis dari masa ke masa. Tahniah diucapkan!

Akhir sekali terima kasih kepada semua pelajar yang hadir ke Hotel De Palma untuk membantu melancarkan lagi kerja belakang pentas dan memberi sokongan moral kepada rakan-rakan yang lain seperti Zack,Azian,Juwita,Jasnina dan Balqish. Tidak lupa juga kepada Kak Liza yang turut memberi sokongan kepada pelajar-pelajar.

(Bergambar kenangan bersama Datuk Ramle b. Mat Daly dan Tuan Haji Rahman Adam)

Andai ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Andai ada umur yang panjang,
Boleh kita bejumpa lagi.

PERJUANGAN BELUM SELESAI!

(p/s: Cikgu Rosli suruh rajin2 la dtg kelas asas.)