DRAMATIS KUALA LUMPUR

DRAMATIS KUALA LUMPUR
Perjuangan Belum Selesai

Monday, May 24, 2010

MANIFESTASI TEATER "GEJOLAK"

22 Mei 2010 bersamaan hari Sabtu yang lalu,kami Dramatis Kuala Lumpur telah pergi menonton sebuah pementasan Manifestasi Teater Malaysia 2010 kategori NGO/IPT oleh kumpulan Aura Production KYMi (Kolej Yayasan Melaka) bagi memeriahkan lagi program ini.

Juara Festival Teater Melaka 2009 ini ternyata layak memperoleh gelaran tersebut. Gejolak yang berkisarkan tentang persoalan di mana terletaknya keadilan yang sebenar dan juga pilihan yang bukannya pilihan mereka.

"...pilihan yang tiada pilihan..."
Ini merupakan dialog yang penuh dengan persoalan.

Mereka berjaya membuat Gejolak menjadi sebuah teater yang mempunyai unsur eksperimen seperti penggunaan bingkai yang boleh juga dikatakan sebuah persoalan buat penonton untuk berfikir out of the box apakah sebenarnya bingkai itu. Ia hanyalah sebuah metafora. Idea yang menarik. Selain itu,permulaan babak dengan tarian sangatlah mengujakan.

Set yang digambarkan sebagai sebuah penjara amat baik dan cantik. Penggunaan kelir di bahagian kiri dan kanan pentas merupakan idea yang bagus. Setiap watak akan menunjukkan bayang perwatakan di sebalik kelir itu sebelum muncul di tengah pentas.

Dari segi teknikal pula agak baik dan kemas. Penggunaan teknik pencahayaan mungkin biasa sahaja di bahagian tengah penceritaan dengan menggunakan general lighting dan juga spot apabila si pelakon berada di atas platform kiri dan kanan menceritakan tentang biografi penangkapan mereka. Menarik adalah perkataan yang seharusnya di perkatakan. Kami juga teruja dengan teknik cahaya yang muncul dari dalam kotak platform tengah di akhir cerita. Audio juga baik. Ini kerana background music hanya muncul dibahagian awal dan akhir penceritaan. Bunyi petikan gitar yang diguna sangat baik.

Para pelakon dalam Gejolak pula telah melakukan yang terbaik. Walau bagaimanapun Jay yang dilakonkan oleh Azrul Razilah agak menonjol pada malam itu. Credit harus diberikan kepada beliau. Tetapi kadang-kadang ada dialog yang clash antara dia dan rakan lakonnya yang lain,ini harus diperbaiki. Bukan yang lain tidak bagus,pelakon yang lain juga telah menonjolkan perwatakan masing-masing dengan jelas dan baik. Penyampaian teknikal juga baik.

Sesungguhnya bagi kami Jay,Mas,Les Zar dan Kar El adalah "Jebat" di dalam penjara itu. Mereka merasakan apa yang mereka lakukan betul tetapi salah disisi undang-undang. Paling mengejutkan ialah,Kar El yang bersalah kerana mencuri telur buat isterinya yang mengidam juga di hukum bunuh. Dimanakah keadilan? Keadaan menjadi semakin rumit bila warden memberi tempoh 15 minit buat mereka berfikir bagaimankah cara mereka hendak mati. Perbalahan tentang cara mereka hendak mati antara mereka menjadi sebuah konflik yang membuatkan penonton tertanya-tanya bagaimanakah mereka akan mati. Pelbagai cara dan idea yang mereka beri yang akhirnya dimana Kar El memilih secara tidak sengaja ,iaitu cara di Gantung hingga mati yang pada awalnya dia tidak setuju. Keadilan yang tidak adil. Walau pun begitu, sebenarnya nyawa setiap manusia hanyalah Allah yang menentukan. Jika tiba ajal,matilah kita.

"...KUN FA YA KUN..."

Akhir kata,persembahan pada malam itu antara yang terbaik yang pernah kami tonton selama ini. Bagi kami, memang benar,kadang-kadang pilihan memang tiada pilihan. Tahniah diucapkan buat Aura Production!

"...sebuah naskah teater eksperimental yang berjaya! Teruskan lagi berkarya KYM!..."


(sebahagian pelajar-pelajar Dramatis yang hadir)

...PERJUANGAN BELUM SELESAI...

Sunday, May 9, 2010

BANGSAWAN "NILAM DEWANI"


Bersempena Program Semarak Bangsawan 2010 ini kami Dramatis Camar Pesona telah berkesempatan untuk menyemarakkan program ini dengan menghadirkan diri ke sebuah pementasan bangsawan oleh Kumpulan Bangsawan Seri Mahkota Alam,Johor Bahru yang bertajuk "Nilam Dewani". Persembahan yang bertempat di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari peminat bangsawan tanah air walaupun bertiket RM5.

Pada malam itu kami dapat melihat dan menemui bukan sahaja orang awam yang hadir malah penyanyi terkenal Ramli Sarip juga hadir pada malam itu. Selain daripada itu,ramai juga akitvis teater dan dunia seni ini yang hadir.

(Bergambar bersama Ramli Sarip)

Bangsawan Nilam Dewani yang di arahkan oleh S.M Aliff yang juga sahabat Cikgu Rosli Rahman Adam pada malam itu agak baik. Cerita yang berkisarkan seorang raja yang bernama Raja Demaga yang terpaksa menyamarkan Puteri Seri Nilam Dewani menjadi nyiur gading @ buah nyiur dan dihantar bersembunyi di Bumi dari dunia kayangannya kerana untuk menggelakkan anaknya itu berkahwin dengan raja yang angkuh dan bernafsu iaitu Raja Gemala Dewa.

Ceritanya ringkas dan mudah difahami. Walaupun penonton mungkin boleh mengagak pengakhirannya namun ia tetap sebuah naskah yang menarik untuk di tonton.

Dari segi lakonan para pelakon yang menjayakan bangsawan pada malam itu berada di tahap baik sahaja. Walaupun ada terdapat sedikit kelonggaran penghayatan. Watak yang paling menonjol pada malam itu ialah watak Raja Jin yang dilakonkan oleh Hussin Ismail. Pujian wajar diberi kepada beliau kerana Hussin berjaya menaikkan graf penceritaan. Tahniah diucapkan!

Kostum yang digunakan dalam pementasan pada malam itu amat baik. Kami dapat melihat perbezaan pakaian antara Dunia Kayangan dan Dunia Sebenar (Bumi). Tidak ketinggalan juga Set & Prop yang di guna pakai,ia sangat menarik. Setiap set yang ditukar semasa extra-turn berjaya menonjolkan dimana situasi itu berlaku.

Apa yang membuatkan kami teruja apabila special effect iaitu Puteri Nilam Dewani bertukar kepada Pokok Nyiur Gading dengan smoke machine. Lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Puteri Seri Nilam Dewani yang dilakonkan oleh Natasha Mohd Yazir pada malam itu sedap didengar dan liriknya sesuai dengan situasi babak tersebut. Selain itu,para pemuzik live yang mengiringi persembahan pada malam itu juga amat baik. Tahniah juga kepada mereka. Dari segi teknik pencahayaan juga amat baik dan menarik. Ianya mungkin ringkas tetapi kemas.

Kami juga amat terhibur dengan extra-turn yang dijamukan kepada penonton agar tidak jemu atau keluar dari panggung. Dendangan lagu dan tarian amat menarik. Terutamanya lagu pop yeh yeh La Obe. hehe!

(Semasa 'curtain-call')

Akhir kata dari kami ialah,tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dan menjayakan Bangsawan Nilam Dewani ini! Pengalaman ini tetap segar di ingatan kami.

~PERJUANGAN BELUM SELESAI~

Tuesday, May 4, 2010

MONOLOG "DENYUT"

"Gila! Bangsat! Kotor! Jijik! Hina! .... Aku sayang lelaki tua itu... Kerana MATA itu, aku bunuhnya!"

Pada 2 Mei 2010 kami Dramatis Camar Pesona sekali lagi pergi menonton sebuah pementasan teater,tetapi kali ini ia bukanlah sebuah pementasan teater kategori NGO/IPT tetapi ia sebuah pementasan Monolog. Pementasan monolog "Denyut" oleh kumpulan Aura Production KYMI dari Melaka pada malam itu adalah persembahan monolog buat kali pertama di tonton oleh Pelajar-pelajar sesi 2010.

Persembahan monolog itu yang diadakan di Taman Budaya KL itu bersempena Manifestasi Teater Malaysia 2010 merupakan antara persembahan yang menarik bagi kami. Walaupun sambutan penonton kurang menggalakkan tetapi kami tetap memberi sokongan kepada para penggiat teater Malaysia.

Pada awalnya kami agak tertanya-tanya apa maksud di sebalik tajuk "Denyut" dan ayat di bawah tajuk itu iaitu"aku benci matanya..."(di pamplet). Kami hanya mengandaikan ia sebuah metafora ataupun simbolisme kepada sesuatu benda mahupun seseorang.

Selain itu,kami juga tertarik dengan idea kreatif yang mereka tonjolkan seperti bunyi petikan gitar live di tepi sudut pentas. Persembahan malam itu agak sempoi tetapi mempunyai mesej yang mendalam. Monolog yang disampaikan oleh Mohd.Zamri pada malam itu mempunyai caranya yang tersendiri. Zamri juga pandai membezakan perwatakan antara Qabil,Tuan Habil dan Polis.

Perwatakan Qabil yang dibawa oleh Zamri agak jelas. Qabil bagi kami adalah seorang yang SKIZOFRENIA, iaitu penyakit mental yang teruk dengan ciri-ciri kecacatan yang berterusan pada penerimaan seseorang (perception) pada gambaran alam sebenar (reality). Apa yang kami nampak ialah Qabil yang dilakonkan oleh Zamri juga menunjukkan dia memang seorang yang sakit mental ialah apabila dia berasa tertekan ataupun sakit serta takut setelah terdengar bunyi denyutan ketika hendak membunuh Tuan Habil. Ia juga merupakan ciri skizofrenia iaitu halusinasi pendengaran. Zamri juga berjaya menonjolkan bahawa Habil seorang yang berfikiran tidak teratur.

Walaupun kadang-kadang ada sedikit keloggaran lakonan namun ia bukanlah ketara kerana selain lakonan penghayatannya yang kuat, Zamri juga di bantu dengan teknik lampu yang amat baik dan kemas. Kami juga teruja dengan penggunaan stroke light dan di iringi bunyi guruh menambahkan lagi mood babak tertentu itu.

(MATA yang banyak menimbulkan persoalan)

(Antara babak menarik Denyut)
Secara ringkasnya, persembahan pada malam itu menarik dan kami juga dapat mempelajari sedikit sebanyak ilmu dari persembahan pada malam itu. Syabas di ucapkan kepada Aura Production KYMI.

(Pelajar-pelajar Dramatis bergambar bersama Zamri)

(Cikgu Rosli Rahman Adam bersama Zamri)

Persembahan monolog "Denyut" ini akan tetap segar dalam ingatan Dramatis. Ini juga merupakan salah satu cara pembelajaran kami iaitu teknik "belajar pandang".

...PERJUANGAN BELUM SELESAI...

Saturday, May 1, 2010

SKETSA "SESAT DALAM CAHAYA"



Pada 30 April 2010 bertempat di Hotel De Palma,sempena Karnival Bulan Keinsafan anjuran Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Ampang kami Dramatis Camar Pesona telah di pertanggungjawabkan untuk mempersembahkan sebuah sketsa berkaitan dengan penyalahgunaan dadah yang bertajuk "Sesat Dalam Cahaya" karya Tuan Haji Rahman Adam.

Kami berasa amat berbangga dan bertuah kerana Pengerusi Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Ampang merangkap Pengerusi Bulan Keinsafan iaitu Datuk Ramle bin Mat Daly memberi kepercayaan dan sokongan yang padu kepada kami untuk menjayakan pementasan pada malam itu. Terima Kasih kami ucapkan Datuk Ramle.

Selain daripada persembahan sketsa dari kami,pelbagai persembahan lain seperti Dikir Barat,Nasyid dan Pendeklamasian Sajak juga turut mewarnai perasmian Karnival Bulan Keinsafan yang dirasmikan oleh Dato' Hajjah Zuraidah binti Haji Mohamed itu. Persembahan Deklamasi Sajak itu turut di iringi oleh Zayrul Iqwan Rosli yang bertindak sebagai "silent monolog actor".

Selain itu,terima kasih kepada Cikgu Rosli Rahman Adam yang banyak memberi tunjuk ajar kepada para pelajar terutamanya dari segi lakonan serta permainan pentas. Tidak lupa juga buat Tuan Haji Rahman Adam merangkap Timbalan Pengerusi Bulan Keinsafan yang juga memberi tunjuk ajar dari segi lakonan dan kerja balik tabir.

(Datuk Ramle b. Mat Daly dan Tuan Haji Rahman Adam)

Terima Kasih juga diucapkan buat pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam pementasan ini. Ini juga merupakan persembahan pertama buat Pelajar Sesi 2010. Meskipun ini adalah persembahan pertama mereka,persembahan pada malam itu agak baik walaupun pelajar-pelajar baru agak gemuruh. Termasuklah pengurusan belakang tabir yang cemerlang. Tahniah diucapkan.

PENDEKLAMASIAN SAJAK

(Zayrul semasa sesi latihan sebelum pementasan)

BARISAN PELAKON "SESAT DALAM CAHAYA"


PUTERI IZAN sebagai ROKIAH
Persembahan lakonannya pada malam itu agak baik,walaupun lontaran suaranya menjadi nyaring sedikit. Pun begitu dia dapat menjayakan watak sebagai ibu yang merintih akan nasib anaknya yang terlibat dengan dadah. Kesimpulannya dia berjaya menonjolkan wataknya.

ZAMRI KHALIP sebagai ISHAK
Lakonannya pada malam itu berada di tahap sederhana kerana perwatakan tua dari usianya yang sebenar kurang meyakinkan pengarah iaitu Cikgu Rosli Rahman Adam. Mungkin kerana dia gagal mengawal rasa gemuruh kerana pertama kali naik ke pentas. Walaubagaimanapun ia bukanlah bermakna Zamri gagal,tetapi harus memperbaiki lagi mutu lakonannya. Tahniah!

ILANI KHALID sebagai NORA
Lakonannya pada malam itu sederhana juga. Ini kerana dia ada membuat beberapa kesilapan kecil semasa persembahan. Di harap supaya Ilani membuang tabiat "stage-shy". Ini tidak bererti dia gagal,ia merupakan cubaan pertama yang baik. Watak sebagai pelajar sekolah menengah jelas ditonjolkan melalui kostum dan suaranya. Kesimpulannya,Ilani perlu memperbaiki lagi mutu lakonan ke tahap yang lebih baik.

ZAYRUL IQWAN ROSLI sebagai RUSDI
Zayrul berjaya menonjolkan perwatakan kurang ajarnya sebagai seorang anak yang terlibat dengan dadah. Pada malam itu mutu lakonannya berada di tahap yang sangat baik. Lontaran dialog juga jelas di perdengarkan. Dia tidak nampak langsung gementar tatkala berada di pentas. Tahniah!

IERA NADIRAH sebagai SHIKIN
Lakonannya juga berada di tahap sederhana. Pembawakan wataknya sebagai individu yang turut mersakan kesan negatif dadah iaitu abangnya yang telah membunuh ayahnya kurang meyakinkan. Esakan tangisan telah menganggu lontaran vokalnya. Pun begitu,ia merupakan cubaan yang baik buat Iera. Di harap Iera dapat meningkatkan mutu lakonan.

SHAFAZIL SHAHUDIN sebagai PEGAWAI AADK 1
Lakonannya berada di tahap sederhana baik. Meskipun hanya terlibat satu babak sahaja. "Chemistry" sebagai seorang pegawai penguatkuasa AADK boleh dikatakan berjaya ditonjolkan,tambahan pula dengan jaket AADK yang rasmi di gunakan. Bagaimanapun,Fazil harus mempertingkatkan lagi mutu lakonannya.

AHMAD TARMIZI sebagai PEGAWAI AADK 2
Lakonannya dan Fazil berada di tahap yang serupa. Mizi perlu meningkatkan tahap dan mutu lakonannya di tahap yang lebih baik.

BELAKANG TABIR

MOHD HILMI : Penolong Pengarah
Hilmi telah melakukan tugasnya dengan sempurna dan baik pada malam itu. Dia amat mengambil berat tentang para pelakon yang juga rakan-rakan seperjuangannya. "Q" keluar masuk pentas juga berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan kemas. Ia merupakan salah satu faktor yang membuatkan sketsa ini berjalan lancar tanpa gangguan belakang pentas.

DIANA ZAINAL : Pengurus Produksi
Pujian juga harus di berikan kepada Diana yang telah berjaya melaksanakan tugasnya sebagai Pengurus Produksi. Tugasnya amat berat dari pagi kami berada hinggalah ke malam. Dia berjaya mengatur kemas pergerakan Dramatis dari masa ke masa. Tahniah diucapkan!

Akhir sekali terima kasih kepada semua pelajar yang hadir ke Hotel De Palma untuk membantu melancarkan lagi kerja belakang pentas dan memberi sokongan moral kepada rakan-rakan yang lain seperti Zack,Azian,Juwita,Jasnina dan Balqish. Tidak lupa juga kepada Kak Liza yang turut memberi sokongan kepada pelajar-pelajar.

(Bergambar kenangan bersama Datuk Ramle b. Mat Daly dan Tuan Haji Rahman Adam)

Andai ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Andai ada umur yang panjang,
Boleh kita bejumpa lagi.

PERJUANGAN BELUM SELESAI!

(p/s: Cikgu Rosli suruh rajin2 la dtg kelas asas.)