DRAMATIS KUALA LUMPUR

DRAMATIS KUALA LUMPUR
Perjuangan Belum Selesai

Sunday, May 9, 2010

BANGSAWAN "NILAM DEWANI"


Bersempena Program Semarak Bangsawan 2010 ini kami Dramatis Camar Pesona telah berkesempatan untuk menyemarakkan program ini dengan menghadirkan diri ke sebuah pementasan bangsawan oleh Kumpulan Bangsawan Seri Mahkota Alam,Johor Bahru yang bertajuk "Nilam Dewani". Persembahan yang bertempat di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur itu mendapat sambutan yang menggalakkan dari peminat bangsawan tanah air walaupun bertiket RM5.

Pada malam itu kami dapat melihat dan menemui bukan sahaja orang awam yang hadir malah penyanyi terkenal Ramli Sarip juga hadir pada malam itu. Selain daripada itu,ramai juga akitvis teater dan dunia seni ini yang hadir.

(Bergambar bersama Ramli Sarip)

Bangsawan Nilam Dewani yang di arahkan oleh S.M Aliff yang juga sahabat Cikgu Rosli Rahman Adam pada malam itu agak baik. Cerita yang berkisarkan seorang raja yang bernama Raja Demaga yang terpaksa menyamarkan Puteri Seri Nilam Dewani menjadi nyiur gading @ buah nyiur dan dihantar bersembunyi di Bumi dari dunia kayangannya kerana untuk menggelakkan anaknya itu berkahwin dengan raja yang angkuh dan bernafsu iaitu Raja Gemala Dewa.

Ceritanya ringkas dan mudah difahami. Walaupun penonton mungkin boleh mengagak pengakhirannya namun ia tetap sebuah naskah yang menarik untuk di tonton.

Dari segi lakonan para pelakon yang menjayakan bangsawan pada malam itu berada di tahap baik sahaja. Walaupun ada terdapat sedikit kelonggaran penghayatan. Watak yang paling menonjol pada malam itu ialah watak Raja Jin yang dilakonkan oleh Hussin Ismail. Pujian wajar diberi kepada beliau kerana Hussin berjaya menaikkan graf penceritaan. Tahniah diucapkan!

Kostum yang digunakan dalam pementasan pada malam itu amat baik. Kami dapat melihat perbezaan pakaian antara Dunia Kayangan dan Dunia Sebenar (Bumi). Tidak ketinggalan juga Set & Prop yang di guna pakai,ia sangat menarik. Setiap set yang ditukar semasa extra-turn berjaya menonjolkan dimana situasi itu berlaku.

Apa yang membuatkan kami teruja apabila special effect iaitu Puteri Nilam Dewani bertukar kepada Pokok Nyiur Gading dengan smoke machine. Lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Puteri Seri Nilam Dewani yang dilakonkan oleh Natasha Mohd Yazir pada malam itu sedap didengar dan liriknya sesuai dengan situasi babak tersebut. Selain itu,para pemuzik live yang mengiringi persembahan pada malam itu juga amat baik. Tahniah juga kepada mereka. Dari segi teknik pencahayaan juga amat baik dan menarik. Ianya mungkin ringkas tetapi kemas.

Kami juga amat terhibur dengan extra-turn yang dijamukan kepada penonton agar tidak jemu atau keluar dari panggung. Dendangan lagu dan tarian amat menarik. Terutamanya lagu pop yeh yeh La Obe. hehe!

(Semasa 'curtain-call')

Akhir kata dari kami ialah,tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dan menjayakan Bangsawan Nilam Dewani ini! Pengalaman ini tetap segar di ingatan kami.

~PERJUANGAN BELUM SELESAI~

Tuesday, May 4, 2010

MONOLOG "DENYUT"

"Gila! Bangsat! Kotor! Jijik! Hina! .... Aku sayang lelaki tua itu... Kerana MATA itu, aku bunuhnya!"

Pada 2 Mei 2010 kami Dramatis Camar Pesona sekali lagi pergi menonton sebuah pementasan teater,tetapi kali ini ia bukanlah sebuah pementasan teater kategori NGO/IPT tetapi ia sebuah pementasan Monolog. Pementasan monolog "Denyut" oleh kumpulan Aura Production KYMI dari Melaka pada malam itu adalah persembahan monolog buat kali pertama di tonton oleh Pelajar-pelajar sesi 2010.

Persembahan monolog itu yang diadakan di Taman Budaya KL itu bersempena Manifestasi Teater Malaysia 2010 merupakan antara persembahan yang menarik bagi kami. Walaupun sambutan penonton kurang menggalakkan tetapi kami tetap memberi sokongan kepada para penggiat teater Malaysia.

Pada awalnya kami agak tertanya-tanya apa maksud di sebalik tajuk "Denyut" dan ayat di bawah tajuk itu iaitu"aku benci matanya..."(di pamplet). Kami hanya mengandaikan ia sebuah metafora ataupun simbolisme kepada sesuatu benda mahupun seseorang.

Selain itu,kami juga tertarik dengan idea kreatif yang mereka tonjolkan seperti bunyi petikan gitar live di tepi sudut pentas. Persembahan malam itu agak sempoi tetapi mempunyai mesej yang mendalam. Monolog yang disampaikan oleh Mohd.Zamri pada malam itu mempunyai caranya yang tersendiri. Zamri juga pandai membezakan perwatakan antara Qabil,Tuan Habil dan Polis.

Perwatakan Qabil yang dibawa oleh Zamri agak jelas. Qabil bagi kami adalah seorang yang SKIZOFRENIA, iaitu penyakit mental yang teruk dengan ciri-ciri kecacatan yang berterusan pada penerimaan seseorang (perception) pada gambaran alam sebenar (reality). Apa yang kami nampak ialah Qabil yang dilakonkan oleh Zamri juga menunjukkan dia memang seorang yang sakit mental ialah apabila dia berasa tertekan ataupun sakit serta takut setelah terdengar bunyi denyutan ketika hendak membunuh Tuan Habil. Ia juga merupakan ciri skizofrenia iaitu halusinasi pendengaran. Zamri juga berjaya menonjolkan bahawa Habil seorang yang berfikiran tidak teratur.

Walaupun kadang-kadang ada sedikit keloggaran lakonan namun ia bukanlah ketara kerana selain lakonan penghayatannya yang kuat, Zamri juga di bantu dengan teknik lampu yang amat baik dan kemas. Kami juga teruja dengan penggunaan stroke light dan di iringi bunyi guruh menambahkan lagi mood babak tertentu itu.

(MATA yang banyak menimbulkan persoalan)

(Antara babak menarik Denyut)
Secara ringkasnya, persembahan pada malam itu menarik dan kami juga dapat mempelajari sedikit sebanyak ilmu dari persembahan pada malam itu. Syabas di ucapkan kepada Aura Production KYMI.

(Pelajar-pelajar Dramatis bergambar bersama Zamri)

(Cikgu Rosli Rahman Adam bersama Zamri)

Persembahan monolog "Denyut" ini akan tetap segar dalam ingatan Dramatis. Ini juga merupakan salah satu cara pembelajaran kami iaitu teknik "belajar pandang".

...PERJUANGAN BELUM SELESAI...

Saturday, May 1, 2010

SKETSA "SESAT DALAM CAHAYA"



Pada 30 April 2010 bertempat di Hotel De Palma,sempena Karnival Bulan Keinsafan anjuran Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Ampang kami Dramatis Camar Pesona telah di pertanggungjawabkan untuk mempersembahkan sebuah sketsa berkaitan dengan penyalahgunaan dadah yang bertajuk "Sesat Dalam Cahaya" karya Tuan Haji Rahman Adam.

Kami berasa amat berbangga dan bertuah kerana Pengerusi Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Ampang merangkap Pengerusi Bulan Keinsafan iaitu Datuk Ramle bin Mat Daly memberi kepercayaan dan sokongan yang padu kepada kami untuk menjayakan pementasan pada malam itu. Terima Kasih kami ucapkan Datuk Ramle.

Selain daripada persembahan sketsa dari kami,pelbagai persembahan lain seperti Dikir Barat,Nasyid dan Pendeklamasian Sajak juga turut mewarnai perasmian Karnival Bulan Keinsafan yang dirasmikan oleh Dato' Hajjah Zuraidah binti Haji Mohamed itu. Persembahan Deklamasi Sajak itu turut di iringi oleh Zayrul Iqwan Rosli yang bertindak sebagai "silent monolog actor".

Selain itu,terima kasih kepada Cikgu Rosli Rahman Adam yang banyak memberi tunjuk ajar kepada para pelajar terutamanya dari segi lakonan serta permainan pentas. Tidak lupa juga buat Tuan Haji Rahman Adam merangkap Timbalan Pengerusi Bulan Keinsafan yang juga memberi tunjuk ajar dari segi lakonan dan kerja balik tabir.

(Datuk Ramle b. Mat Daly dan Tuan Haji Rahman Adam)

Terima Kasih juga diucapkan buat pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam pementasan ini. Ini juga merupakan persembahan pertama buat Pelajar Sesi 2010. Meskipun ini adalah persembahan pertama mereka,persembahan pada malam itu agak baik walaupun pelajar-pelajar baru agak gemuruh. Termasuklah pengurusan belakang tabir yang cemerlang. Tahniah diucapkan.

PENDEKLAMASIAN SAJAK

(Zayrul semasa sesi latihan sebelum pementasan)

BARISAN PELAKON "SESAT DALAM CAHAYA"


PUTERI IZAN sebagai ROKIAH
Persembahan lakonannya pada malam itu agak baik,walaupun lontaran suaranya menjadi nyaring sedikit. Pun begitu dia dapat menjayakan watak sebagai ibu yang merintih akan nasib anaknya yang terlibat dengan dadah. Kesimpulannya dia berjaya menonjolkan wataknya.

ZAMRI KHALIP sebagai ISHAK
Lakonannya pada malam itu berada di tahap sederhana kerana perwatakan tua dari usianya yang sebenar kurang meyakinkan pengarah iaitu Cikgu Rosli Rahman Adam. Mungkin kerana dia gagal mengawal rasa gemuruh kerana pertama kali naik ke pentas. Walaubagaimanapun ia bukanlah bermakna Zamri gagal,tetapi harus memperbaiki lagi mutu lakonannya. Tahniah!

ILANI KHALID sebagai NORA
Lakonannya pada malam itu sederhana juga. Ini kerana dia ada membuat beberapa kesilapan kecil semasa persembahan. Di harap supaya Ilani membuang tabiat "stage-shy". Ini tidak bererti dia gagal,ia merupakan cubaan pertama yang baik. Watak sebagai pelajar sekolah menengah jelas ditonjolkan melalui kostum dan suaranya. Kesimpulannya,Ilani perlu memperbaiki lagi mutu lakonan ke tahap yang lebih baik.

ZAYRUL IQWAN ROSLI sebagai RUSDI
Zayrul berjaya menonjolkan perwatakan kurang ajarnya sebagai seorang anak yang terlibat dengan dadah. Pada malam itu mutu lakonannya berada di tahap yang sangat baik. Lontaran dialog juga jelas di perdengarkan. Dia tidak nampak langsung gementar tatkala berada di pentas. Tahniah!

IERA NADIRAH sebagai SHIKIN
Lakonannya juga berada di tahap sederhana. Pembawakan wataknya sebagai individu yang turut mersakan kesan negatif dadah iaitu abangnya yang telah membunuh ayahnya kurang meyakinkan. Esakan tangisan telah menganggu lontaran vokalnya. Pun begitu,ia merupakan cubaan yang baik buat Iera. Di harap Iera dapat meningkatkan mutu lakonan.

SHAFAZIL SHAHUDIN sebagai PEGAWAI AADK 1
Lakonannya berada di tahap sederhana baik. Meskipun hanya terlibat satu babak sahaja. "Chemistry" sebagai seorang pegawai penguatkuasa AADK boleh dikatakan berjaya ditonjolkan,tambahan pula dengan jaket AADK yang rasmi di gunakan. Bagaimanapun,Fazil harus mempertingkatkan lagi mutu lakonannya.

AHMAD TARMIZI sebagai PEGAWAI AADK 2
Lakonannya dan Fazil berada di tahap yang serupa. Mizi perlu meningkatkan tahap dan mutu lakonannya di tahap yang lebih baik.

BELAKANG TABIR

MOHD HILMI : Penolong Pengarah
Hilmi telah melakukan tugasnya dengan sempurna dan baik pada malam itu. Dia amat mengambil berat tentang para pelakon yang juga rakan-rakan seperjuangannya. "Q" keluar masuk pentas juga berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan kemas. Ia merupakan salah satu faktor yang membuatkan sketsa ini berjalan lancar tanpa gangguan belakang pentas.

DIANA ZAINAL : Pengurus Produksi
Pujian juga harus di berikan kepada Diana yang telah berjaya melaksanakan tugasnya sebagai Pengurus Produksi. Tugasnya amat berat dari pagi kami berada hinggalah ke malam. Dia berjaya mengatur kemas pergerakan Dramatis dari masa ke masa. Tahniah diucapkan!

Akhir sekali terima kasih kepada semua pelajar yang hadir ke Hotel De Palma untuk membantu melancarkan lagi kerja belakang pentas dan memberi sokongan moral kepada rakan-rakan yang lain seperti Zack,Azian,Juwita,Jasnina dan Balqish. Tidak lupa juga kepada Kak Liza yang turut memberi sokongan kepada pelajar-pelajar.

(Bergambar kenangan bersama Datuk Ramle b. Mat Daly dan Tuan Haji Rahman Adam)

Andai ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Andai ada umur yang panjang,
Boleh kita bejumpa lagi.

PERJUANGAN BELUM SELESAI!

(p/s: Cikgu Rosli suruh rajin2 la dtg kelas asas.)

Sunday, April 25, 2010

Teater "Rumah Lama Kampung Baru"


Pada 24 April 2010 Dramatis Camar Pesona telah pergi menonton teater "Rumah Lama Kampung Baru" anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur. Teater ini diarahkan oleh Marlenny Deenerwan.

Persembahan pada malam itu sangat memuaskan. Terutamanya dari segi lakonan para pelakon yang menjayakan watak masing-masing. Unsur humor yang ditonjolkan juga berkesan membuatkan penonton geli hati dan tak kering gusi.

Watak Mak Raya yang dilakonkan oleh Ismaliza juga sangat baik. Cara berjalan dan berdialog sebagai seorang yang berumur berjaya di sempurnakan. Begitu juga watak Pak Hasan yang dilakonkan oleh Mohd.Raduan. Tidak lupa juga kepada Mohd.Ridzuan yang memegang watak Zulkifli yang agak kurang ajar ataupun angkuh. Begitu juga Ahmad Iswazir yang memegang watak Budin yang membawa unsur komedi semasa pementasan. Tahniah kepada mereka. Tetapi bukanlah bermakna yang lain-lain tidak bagus,mereka juga berjaya membawa karakter mereka dengan baik.

Selain daripada itu,set & prop yang digunakan sangat memuaskan dan betul-betul menggambarkan suasana Kampung Baru. Pengarah bijak menggunakan kelebihan yang ada pada Panggung Bandaraya KL itu seperti tingkat kedua yang digunakan sebagai flat tingkat dua.

Teater yang bergenre realisme memaparkan tentang asam garam kehidupan masyarakat yang tinggal di Kampung Baru yang mempunyai banyak konflik di antara satu sama lain. Di permulaan cerita,ia mengisahkan tentang karenah-karenah para penduduk di Kampung Baru itu. Ia menjadi menarik setelah Zul muncul untuk meminta geran tanah pusaka dari kakaknya Mak Raya. Dari situ bermulalah konflik perebutan tanah pusaka oleh Zul yang ingin meruntuhkan Kampung Baru demi memenuhi kehendaknya sendiri iaitu membina rumah untuk dirinya. Ini membuatkan Pak Hasan dan seluruh penduduk menjadi risau. Akhir cerita usaha Zul terbatas. Akhirnya Kampung Baru kekal seperti dahulu kala hanya karenah penduduk saja yang masih tidak berubah. Sebuah naskah yang menarik untuk ditonton.

(antara babak menarik persembahan pada malam itu)

Bagi Dramatis ia sebuah pengalaman yang berguna buat kami untuk menambah ilmu pengetahuan tentang teater. Kami sentiasa memberi sokongan kepada kumpulan-kumpulan teater yang menjayakan persembahan di mana sahaja. Pada malam itu sambutan persembahan amat menggalakkan. Kami juga berpeluang bertemu dengan pengarah teater ini iaitu Marlenny Deenerwan.

(sebahagian pelajar yang hadir menonton teater ini bersama Cikgu Rosli)

Selain itu,ia juga satu pelajaran yang berguna buat para pelajar kami dalam mengenal erti lakon yang baik. Ingatlah pelajar-pelajar sekalian,PERJUANGAN BELUM SELESAI!

Thursday, April 22, 2010

SEDUTAN TEATER "KURSI"

Ini merupakan sedikit sedutan dari Teater Kursi karya Marzuki Ali dan arahan Liza Tan pada tahun 2007 untuk Festival Teater Kuala Lumpur 2007. Selain itu,ini juga adalah persembahan teater pertama Dramatis Camar Pesona.

ORANG PERTAMA : MAZNI KHAN
ORANG KEDUA : SHAH HASHIM
ORANG KETIGA : ZAYRUL IQWAN ROSLI
ORANG KEEMPAT : SANI SAIDIN

Sunday, April 4, 2010

MENONTON MANIFESTASI TEATER "DETIK"




Pada 3 April 2010 , Dramatis Camar Pesona telah pergi menonton Teater Detik anjuran Kirana Theatre Production di Taman Budaya Kuala Lumpur. Bagi kami ia merupakan salah satu aktiviti yang sangat berguna buat kami dan pelajar-pelajar. Ini kerana kami dapat mempelajari teknik seni lakon dan juga unsur teaterikal yang di tonjolkan dalam teater Detik ini yang telah di nobatkan Johan Festival Teater Pahang. Cerita ini berkonsepkan genre Kontemporari.

Persembahan pada malam itu sangat menarik,baik dan juga beremosi. Ia berkisarkan tentang penipuan dan penindasan yang semakin berleluasa di dunia ini. Manusia yang tak bersalah dikatakan bersalah,dan yang tak bersalah terus bernafas lega. Ianya satu pengadilan yang tidak adil. Teater ini tidaklah terlalu sukar untuk difahami. Ianya lebih banyak mempersoalkan tentang Undang-undang. Menimbulkan pertanyaan siapa yang patutnya memberi hukuman. Adakah Manusia atau Tuhan?

Walau bagaimanapun kami tidak akan mensia-siakan pengalaman yang baik dari teater ini. Baik dari segi lakonan,teknikal dan juga unsur artistik yang di persembahkan. Selain itu, penonton yang hadir agak memberansangkan.

Kami amat menghargai penyertaan para pelajar yang pergi menonton teater tersebut. Ini juga sebahagian dari kaedah pembelajaran yang dinamakan "belajar pandang" ataupun "watch & learn".



(sebahagian dari pelajar Dramatis yang hadir ke pementasan teater Detik)


(Encik Hasmadi dan Cikgu Rosli)






(makan-makan sebelum menonton teater Detik)


(Kak Liza & Cikgu Rosli)



(pelajar-pelajar semasa berada di dalam Auditorium)


"Undang2 yang terbina kononnya untuk menyekat salahlaku, tapi sejauh mana ia mampu menegakkan kebenaran? adakah undang2 itu melindungi atau menghukum manusia? Siapa yang menentukan hukuman? Manusia atau Tuhan?"


Akhir kata dari kami , Perjuangan Belum Selesai!

Saturday, April 3, 2010

JADUAL MANIFESTASI TEATER MALAYSIA 2010

TEATER NGO/IPT

Teater : DETIK
Negeri : PAHANG
Anjuran : KIRANA THEATRE PRODUCTION
Tarikh : 3 & 4 APRIL
Tempat : AUDITORIUM TAMAN BUDAYA KL


Teater : ASY-SYURAH
Negeri : KEDAH
Anjuran : AKRAB
Tarikh : 29 & 30 APRIL
Tempat : PANGGUNG BANDARAYA KL

Teater : GEJOLAK
Negeri : MELAKA
Anjuran : AURA PRODUCTION
Tarikh : 22 & 23 MEI
Tempat : AUDITORIUM TAMAN BUDAYA KL

Teater : WALINONG SARI
Negeri : JOHOR
Anjuran
: GRUP TEATER GERAK SENI
Tarikh
: 29 & 30 SEPTEMBER
Tempat : PANGGUNG BANDARAYA KL

Teater : DUSTA PADA SKALA 1 HINGGA 10
Negeri : PULAU PINANG
Anjuran : BAKAWALEE PENANG
Tarikh : 16 & 17 OKTOBER
Tempat : PANGGUNG BANDARAYA KL

Teater : MEIGHO
Negeri : KELANTAN
Anjuran : TEATER ASPEK
Tarikh : 18 - 19 OKTOBER
Tempat : PANGGUNG BANDARAYA KL


TEATER MONOLOG

Teater : DENYUT
Negeri : MELAKA
Anjuran : AURA PRODUCTION
Tarikh : 1 & 2 MEI
Tempat : AUDITORIUM TAMAN BUDAYA KL

Teater : NUR ISANDRA
Negeri : PERAK
Anjuran : PERSATUAN KARYAWAN PERAK
Tarikh : 12 & 13 JUN
Tempat : AUDITORIUM TAMAN BUDAYA KL

Teater : LUBANG NERAKA
Negeri : JOHOR
Anjuran : YAYASAN PELAJARAN JOHOR
Tarikh : 19 & 20 JUN
Tempat : AUDITORIUM TAMAN BUDAYA KL

Teater : ANAK KECIL MAIN API
Negeri : PERLIS
Anjuran : SEKENET
Tarikh : 3 & 4 JULAI
Tempat : AUDITORIUM TAMAN BUDAYA KL

Teater : KEMARAU MUSIM TENGKUJUH
Negeri : WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
Anjuran : KELAB KILAT TNB
Tarikh : 2 & 3 OKTOBER
Tempat : AUDITORIUM TAMAN BUDAYA KL


Semua di atas merupakan jadual Manifestasi Teater Malaysia 2010. Di Harapkan anda dapat memberi sokongan terhadap Manifestasi Teater Malaysia 2010 ini. Majulah Teater Untuk Negara!